ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor bercadang mengumumkan cuti khas peristiwa sekiranya pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala Malaysia 2021 pada 30 November ini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, cadangan cuti khas peristiwa pada 1 Disember tersebut adalah bagi meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan merangkul piala berkenaan sempena sambutan ulang tahun ke-100 penganjuran kejohanan bola sepak berprestij tanah air itu.

"Sekiranya JDT mendapat kejayaan menang Piala Malaysia, esoknya (1 Disember) kita cuti sehari.

"Piala Malaysia berusia 100 tahun dan ia sangat bersejarah dan saya percaya kita semua menunggu JDT merangkul piala ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya, di sini hari ini.

Justeru, Hasni berharap agar JDT dapat membariskan pemain terbaik pada perlawanan akhir bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini (30 November).

Juara bertahan JDT mengesahkan slot ke pentas final selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-1 ke atas Terengganu FC (TFC) selepas menewaskan skuad Penyu itu 3-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

KL City FC pula mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi Melaka United dengan agregat 5-3 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan pada aksi di Stadium Hang Jebat.

Aksi separuh akhir pertama antara KL City FC menentang Melaka United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, turut terikat 1-1.

-- BERNAMA