SUKAN
Jualan tiket Piala Dunia FIFA 2026 fasa pertama bermula Rabu depan

Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di 16 bandar di AS, Kanada dan Mexico dari Jun hingga Julai 2026, menandakan edisi pertama kejohanan yang menampilkan 48 pasukan. - Gambar hiasan/ Reuters
WASHINGTON: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu mengumumkan bahawa pusingan pertama jualan tiket Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico akan dibuka pada 10 Sept 2025, dengan tiket peringkat kumpulan bermula pada harga US$60 dan tiket perlawanan akhir mencecah sehingga US$6,730, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- FIFA akan membuka pusingan pertama jualan tiket pada 10 September 2025 dengan harga tiket bermula US$60 untuk peringkat kumpulan dan sehingga US$6,730 untuk perlawanan akhir, menggunakan kaedah harga dinamik buat kali pertama.
- Fasa pertama jualan dikenali sebagai "Visa Presale Draw" memerlukan pendaftaran ID Peminat FIFA dan hanya terbuka kepada pemegang kad Visa berusia 18 tahun ke atas; slot pembelian bermula 1 Oktober namun tidak menjamin ketersediaan tiket.
- Piala Dunia 2026 akan berlangsung di 16 bandar di AS, Kanada dan Mexico dari Jun hingga Julai, menampilkan 48 pasukan buat kali pertama, dengan fasa jualan seterusnya dijadualkan selepas Cabutan Akhir pada 5 Disember 2025.
"Jadi mesejnya: 'dapatkan tiket lebih awal,' kerana apa sahaja boleh berlaku," kata Ketua Pegawai Operasi Piala Dunia, Heimo Schirgi.
Memandangkan jangkaan permintaan yang tinggi, tiket akan dikeluarkan secara berperingkat.
Fasa pertama, iaitu "Visa Presale Draw," memerlukan peminat mendaftar ID Peminat FIFA di laman rasmi. Hanya pemegang kad Visa berusia 18 tahun ke atas layak memohon.
Tempoh pendaftaran akan berlangsung dari 10 hingga 19 Sept, dengan pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel mulai 29 Sept serta diberikan slot masa pembelian bermula 1 Okt.
Walaupun tiket untuk semua 104 perlawanan ditawarkan, memperoleh slot masa tidak menjamin ketersediaan.
FIFA berkata fasa kedua dan ketiga jualan juga akan menggunakan sistem loteri, dijadualkan pada 27-31 Okt dan selepas Cabutan Akhir pada 5 Dis 2025.
Lebih hampir kepada tarikh kejohanan, peminat boleh membeli baki tiket yang ada mengikut prinsip siapa cepat dia dapat.
Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di 16 bandar di AS, Kanada dan Mexico dari Jun hingga Julai 2026, menandakan edisi pertama kejohanan yang menampilkan 48 pasukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami