Skip to main content

Bisnes

Pulau Pinang kenal pasti prospek pelaburan positif daripada misi ke AS - Chow

Chow berkata kerajaan negeri juga berbesar hati dengan maklum balas positif daripada pelabur sedia ada di Pulau Pinang yang ingin mengembangkan operasi semasa mereka. - Gambar fail/Bernama
Chow berkata kerajaan negeri juga berbesar hati dengan maklum balas positif daripada pelabur sedia ada di Pulau Pinang yang ingin mengembangkan operasi semasa mereka. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengenal pasti prospek pelaburan yang positif di Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor yang dipacu oleh perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) and pusat data, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata misi pelaburan baru-baru ini ke AS telah memberi prospek positif mengenai peluang pasaran dengan banyak syarikat sedang meneroka kaedah untuk memanfaatkan ekosistem AI yang sedang berkembang.

“Kami, saya rasa boleh menyimpulkan bahawa ia adalah satu keputusan yang sangat membuahkan hasil dan positif, malah saya yakin pelaburan akan masuk.

“Mereka akan melakukan banyak kajian, terus membuat keputusan mengenai urus niaga dan memahami ekosistem serta bakat kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Datuk Dr P. Muralitharan dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Surayu Susah.

Pada 28 Sept, Chow mengetuai misi pelaburan dan perdagangan ke AS yang berakhir pada 5 Okt, untuk mengukuhkan hubungan dengan pelabur Amerika dan menarik pelaburan baharu ke negeri itu.

Dianjurkan oleh InvestPenang yang merupakan agensi promosi pelaburan negeri itu, misi perdagangan berkenaan bertujuan memperbaharui hubungan sedia ada dan menjalin ikatan yang lebih kukuh dengan ibu pejabat korporat syarikat-syarikat Amerika.

Chow berkata kerajaan negeri juga berbesar hati dengan maklum balas positif daripada pelabur sedia ada di Pulau Pinang yang ingin mengembangkan operasi semasa mereka.

Beliau berkata pelaburan semula dan pengembangan oleh pelabur sedia ada adalah sama penting kepada negara kerana ia boleh menjana nilai ekonomi yang ketara.

Sehubungan itu, beliau berkata Pulau Pinang sedang berusaha dalam kedua-dua aspek dengan menarik pelabur baharu sambil membantu pelabur sedia ada menilai pelan pengembangan mereka, termasuk keperluan untuk tanah, pembangunan bakat dan infrastruktur.

“Saya boleh katakan Pulau Pinang masih menjadi destinasi yang sangat menarik kerana infrastrukturnya, ekosistem yang kukuh serta pembangunan bakat kita. Jadi, kita menantikan lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini dan ke Pulau Pinang,” kata beliau.

Beliau menambah kerajaan negeri akan terus berhubung dengan pelabur berpotensi sambil membantu syarikat sedia ada merancang pengembangan operasi dan memahami peluang yang tersedia dalam ekosistem Pulau Pinang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement