Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Bantuan segera perlu disertai peluang perbaiki taraf hidup anak muda - ABIM

Ahmad Fahmi berkata pengukuhan bantuan perlu seiring dengan usaha membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan. - Gambar fail/ABIM
Ahmad Fahmi berkata pengukuhan bantuan perlu seiring dengan usaha membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan. - Gambar fail/ABIM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bantuan segera kepada golongan muda yang terhimpit dengan kos sara hidup perlu disertai dengan peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka termasuk pekerjaan yang baik, pendapatan yang mencukupi dan perkhidmatan asas yang mampu diakses.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini, perkara itu perlu diberi perhatian bagi memberikan anak muda ruang untuk membina masa depan yang lebih kukuh.

“Dalam Forum Ekonomi Belia 2026 pada 3 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan anak muda mempunyai peranan untuk bersama-sama memimpin negara pada masa kini.

“Penegasan ini perlu diterjemahkan dalam belanjawan melalui penglibatan belia dalam pembentukan dasar dan penilaian pelaksanaannya. Pengalaman mereka perlu mempengaruhi keputusan yang menyentuh kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seseorang yang bekerja namun masih tidak mampu membina simpanan, hal itu berkait rapat dengan pendapatan, kos hidup, kemudahan yang tersedia serta dasar yang memberikan ruang untuk golongan itu lebih maju.

Ahmad Fahmi berkata ABIM menyokong pengukuhan bantuan berkala oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan termasuk menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), SARA untuk Semua dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata bagi Belanjawan 2027, keutamaannya adalah memastikan jumlah bantuan mencukupi, jadual penyaluran jelas dan golongan yang memerlukan tidak tercicir. 

“Ini termasuklah belanja makanan, pengangkutan dan bil berulang setiap bulan dengan bantuan yang dapat dijangka membantu penerima merancang perbelanjaan serta mengurangkan keperluan berhutang.

“Tambahan peruntukan wajar mengutamakan golongan berpendapatan rendah termasuk keluarga muda serta mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan tidak menentu. Kekerapan bayaran perlu dinilai dengan jumlah bantuan dan syarat kelayakan berdasarkan pendapatan semasa, tanggungan keluarga serta kos keperluan asas,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata pengukuhan bantuan perlu seiring dengan usaha membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.

Beliau yang memetik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Julai 2026 ialah 10.2 peratus, melibatkan 292,500 orang berbanding kadar keseluruhan sebanyak 3.0 peratus.

“Jurang ini menunjukkan cabaran memasuki pasaran kerja yang lebih besar bagi anak muda. Oleh itu, belanjawan perlu memberikan perhatian khusus peralihan daripada pendidikan kepada pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata majikan yang menerima insentif latihan, mencatat peningkatan produktiviti serta kesannnya terhadap gaji serta kemajuan kerjaya pekerja perlu mengemukakan laporan bagi memastikan peruntukan awam kepada syarikat turut membawa manfaat kepada pekerja.

Beliau turut menggesa kerajaan memperluas penyediaan perumahan yang selamat dan mampu dibayar, termasuk bantuan deposit bersasar kepada belia yang perlu berpindah untuk bekerja.

Sementara itu, bagi pasangan muda, Ahmad Fahmi berkata kos penjagaan anak yang tinggi perlu diatasi melalui bantuan yuran bersasar serta peluasan pusat penjagaan berdaftar yang berkualiti dan mampu bayar, berhampiran tempat kerja atau kediaman.

“Selain itu, bantuan pendidikan kepada keluarga berpendapatan rendah perlu meliputi pengangkutan, peranti dan sokongan pembelajaran, manakala mahasiswa yang mengalami kekangan kewangan perlu dibantu melalui bantuan sara hidup bersasar dan dana kecemasan kampus,” katanya.

Beliau berkata antara lain perlindungan sosial berterusan untuk pekerja gig, latihan kecerdasan buatan (AI) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang membuka peluang pekerjaan dan kemajuan kerjaya dan perhatian serius terhadap kesihatan mental serta sokongan psikososial untuk anak muda memperbaiki kehidupan mereka.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement