KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disaran menyediakan Nota Jemaah Menteri (NJM), bagi memaklumkan situasi semasa berkaitan keterjaminan makanan kepada Kabinet sehingga fenomena El Nino berakhir.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu penting, susulan ancaman perubahan iklim dan gangguan cuaca yang boleh menjejaskan pengeluaran serta bekalan makanan negara.
“Agenda keterjaminan makanan bukan lagi sekadar isu sektor pertanian, sebaliknya isu keselamatan nasional apabila landskap geopolitik dunia yang tidak menentu, fenomena perubahan iklim ekstrem serta ketidaktentuan rantaian bekalan global, memaksa kita bertindak lebih pantas, tegas dan holistik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadillah berkata perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2026. di Bangunan Ahli Parlimen dan Pentadbiran, pagi tadi.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata fenomena El Nino dan perubahan iklim. boleh menjejaskan rantaian makanan menerusi gangguan cuaca, sekali gus mengurangkan pengeluaran dan mencetuskan kekurangan bekalan pada peringkat tempatan.
Sehubungan dengan itu, katanya kerajaan melaksanakan beberapa langkah persediaan, termasuk pengurusan sumber air secara bersepadu bagi memastikan penggunaan air secara mampan merentasi sektor.
“Kerajaan turut memperluas penggunaan Sistem Pemantauan Pengairan Pintar dan Sistem Pengairan Titis (TITIS), bagi mengelakkan pembaziran serta menyalurkan air mengikut keperluan sebenar tanah,” katanya.
Beliau berkata kaedah pengurusan air alternatif dan mampan turut diaplikasikan dalam sistem pengeluaran padi bagi mengoptimumkan kecekapan penggunaan air di peringkat ladang, selain menggalakkan Pertanian Persekitaran Terkawal termasuk penggunaan sistem reban ayam tertutup.
Fadillah turut meminta semua agensi yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur air memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual ditetapkan atau lebih awal bagi mengelakkan kelewatan dan projek dikategorikan sebagai projek sakit.
-- BERNAMA