JURGEN Klopp berikrar bahawa Liverpool akan menunjukkan reaksi hebat terhadap kekalahan mengejut 0-3 di tempat sendiri kepada Atalanta dalam pertemuan Liga Europa apabila melayani kunjungan Crystal Palace untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Harapan Liverpool untuk menepati impian Klopp untuk melangsungkan perlawanan akhir UCL di Dublin tersentak selepas Atalanta menghukum persembahan hambar mereka yang menjadi punca kekalahan pertama The Reds di tempat sendiri dalam tempoh 14 bulan.

Pusingan kedua perlawanan suku akhir akan berlangsung di Bergamo minggu depan tetapi sebelum itu, Liverpool melirik kepada pertarungan sengit tiga penjuru di puncak EPL.

Ditanya bagaimana dia boleh memastikan tiada masalah berulang, Klopp berkata: “Pertama sekali, saya tidak boleh memastikan itu, tidak mampu. Tetapi itu merupakan satu tugas yang tetap perlu saya laksanakan.

"Secara umumnya saya tidak fikir ia merencatkan kami tetapi daripada segi prestasi ia adalah buruk.

"Begitupun, apa yang bagusnya tentang prestasi yang sangat buruk ini ialah anda berpeluang bermain dengan lebih baik.

“Kami terjejas dan ia sudah pun berlaku jadi saya tidak akan membiarkan pemain terbawa-bawa jadi saya perlu pastikan kami terus mengorak ke hadapan.

“Kami akan mula membuat persiapan bertemu Crystal Palace. Sudah tentunya kami perlu menunjukkan tindak balas tetapi saya tidak mampu merancang reaksi langsung selepas perlawanan.

"Begitpun, saya berjanji bahawa kami akan mempamerkan kebangkitan." - Stadium Astro