KUALA TERENGGANU: Ketumpulan penyudah menjadi punca utama Terengganu FC ll (TFC ll) tewas 0-2 kepada pasukan PDRM FC dalam aksi Liga Premier malam tadi, kata pengendalinya Badrul Afzan Razali.

Jurulatih berusia 46 tahun itu berkata beliau amat kecewa dengan ketumpulan jentera hadapan yang gagal menjaringkan gol biarpun peluang terhidang di depan mata.

"Secara keseluruhan pemain beraksi dengan baik dan menguasai permainan pada babak pertama serta kedua.

"Terutama di separuh masa kedua kita mempunyai banyak peluang tetapi gagal disempurnakan menyebabkan bahagian belakang (pertahanan) turut hilang fokus dan kita dihukum dengan dua jaringan di laman sendiri," katanya selepas perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Sultan Ismain Nasiruddin Shah di sini, malam tadi.

Kekalahan tersebut menyebabkan skuad The Turtles turun ke tangga ketiga Liga Premier, manakala PDRM FC naik daripada kedudukan keenam ke tempat kelima.

Menurut Badrul Afzan, beliau akui ketiadaan penyerang import Jordan Mintah yang dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC (KL City FC) masih dirasai pasukannya.

Bagaimanapun, beliau tetap menaruh harapan tinggi terhadap penyerang muda tempatan untuk lebih menyerlah dan mencapai prestasi setanding pemain import pada masa depan.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata meskipun berjaya meraih kemenangan, masih banyak kelemahan perlu diperbaiki pasukannya.

"Daripada aspek komitmen pemain saya boleh puji. Tetapi banyak kesilapan perlu diberi perhatian seperti kesilapan mudah dan keputusan atau tindakan tidak tepat yang meletakkan kedudukan pasukan dalam bahaya," katanya.

-- BERNAMA