KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2021 selepas mencatat kemenangan penuh dramatik 4-3 ke atas Afrika Selatan di Bhubaneswar, India pada hari ini.

Pada aksi mendebarkan dalam Kumpulan A di Stadium Kalinga itu, Afrika Selatan bangkit menyamakan kedudukan sebanyak tiga kali, namun skuad kendalian Wallace Tan berjaya memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

Skuad negara yang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tiket ke peringkat lapan pasukan terbaik, membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti (PC) Muhammad Fahmi Khalid seminit sebelum tamat separuh masa pertama (minit ke-29).

Hanya empat minit selepas separuh akhir kedua bermula, PC Guy Morgan menyamakan kedudukan, sebelum Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin kembali meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-41.

Memasuki suku keempat, Afrika Selatan dua kali mempamerkan kebangkitan menerusi Jared Campbell yang meledak dua gol padang pada minit ke-48 dan 54.

Namun, skuad muda negara yang menampilkan semangat jitu untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik Malaysia, berjaya mendahului menerusi jaringan Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul pada minit ke-49 dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-56.

"Saya sangat gembira dan berbangga dengan rakan sepasukan serta jurulatih. Semua orang memberi komitmen 100 peratus, berjuang habis-habisan untuk memenangi perlawanan ini," kata Muhammad Kamarulzaman ketika temu bual bersama Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas perlawanan itu.

Kedudukan Malaysia dalam kumpulan, sama ada sebagai juara atau naib juara akan ditentukan selepas aksi antara Belgium dan Chile, malam ini.

Malaysia memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 menentang Chile pada Rabu lepas, sebelum mengikat naib juara edisi lepas, Belgium 1-1, malam tadi.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah menamatkan saingan di tempat keempat sebanyak tiga kali, iaitu ketika edisi sulung pada 1979, 1982 dan 2013.

-- BERNAMA