KUALA LUMPUR: Seramai 1,300 atlet di Wilayah Persekutuan akan menerima Kad Diskaun Team Wipers yang boleh digunakan untuk membeli peralatan sukan di kedai atau laman sesawang tertentu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, ia inisiatif yang memberi penekanan dan manfaat terhadap kebajikan atlet.

"30 sehingga 50 peratus, ia satu jumlah diskaun sangat baik, dan kita tahu seorang ahli sukan, kalau orang biasa memberi sepasang but untuk setahun, tetapi pemain bola perlu beli tiga atau empat pasang.

"Jadi kos untuk aktif dalam sukan ini tidak murah, segala peralatan sukan itu mahal.

"Dengan adanya diskaun ini satu kelegaan yang besar dan kita mempunyai jumlah atlet yang ramai, di Wilayah Persekutuan ini kita ada atlet lebih 1,000 orang, bermakna mereka mendapat diskaun," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Seminar Kejurulatihan dan Pembangunan Sukan Wilayah Persekutuan 2021 pada Sabtu.

Pada majlis sama, Annuar turut menyaksikan pertukaran lima perjanjian persefahaman (MoU) antara MSWP dengan beberapa universiti dan agensi swasta.

Antara yang diterima atlet Wilayah Persekutuan sebelum ini adalah perlindungan insurans, Skim Insentif Kemenangan, bantuan perubatan dan rehabilitasi sukan.