JOSE Mourinho memang pantang kena kritik. Apatah lagi jika kritikan itu lebih kepada kecaman dan bukannya membina.

Terbaharu pengendali Manchester United itu melancarkan perang mulut dengan Paul Scholes.

Puncanya kerana tidak puas hati gara-gara tindakan bekas pemain tengah The Red Devils itu mengkritik prestasi Paul Pogba yang dianggapnya tidak berbaloi berbanding nilainya.

“Dia tidak seperti pemain yang akan bawa kemenangan kepada pasukan. Itukah pemain yang bernilai 90 juta pound?” sindir Scholes sejurus perlawanan United menentang Southampton yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Namun Mourinho yang terkenal dengan sikap panas barannya itu tidak mahu tunggu lama untuk balas kritikan Scholes itu.

Selepas the Red Devils melakar kemenangan 2-0 ke atas Everton awal pagi tadi Mourinho tanpa berlengah melancarkan ‘serangan balas’ terhadap legenda United berusia 43 tahun itu.

“Saya rasa satu-satunya yang Paul Scholes lakukan adalah mengkritik. Saya tidak rasa dia mengulas sebaliknya mengkritik dan ia dua perkara yang berbeza,” sindir pengendali berbangsa Portugis itu.

“Bukan salah Pogba jika dia buat lebih banyak duit berbanding Paul Scholes. Bukan salah Paul Pogba tapi inilah hakikat dalam bola sepak,” hujah Mourinho mempertahankan pemain termahal dalam sejarah United itu.


Tidak cukup dengan itu pengurus berusia 54 tahun ini juga melontarkan cabaran berikut kepada Scholes.

"Jika Scholes satu hari nanti memutuskan untuk jadi pengurus, saya harap dia mampu meraih 25 peratus daripada kejayaan saya, kerana 50 peratus adalah 12 setengah daripada koleksi piala saya dan 25 peratus adalah sekitar enam," ujar Mourinho.