PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan kanak-kanak tidak digalakkan hadir dalam dua perlawanan bola sepak dengan penonton di Stadium Sultan Ibrahim di Johor dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 2 dan 3 April depan.

Jelasnya, kanak-kanak sama seperti warga emas berusia 60 tahun ke atas yang berisiko dan mudah dijangkiti virus COVID-19.

"Masih ada SOP perlu dipatuhi termasuk soal dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan. Tiada undang-undang menghalang mereka datang ke stadium, tetapi tidak digalakkan sama seperti golongan berusia 60 tahun ke atas iaitu kumpulan mudah dan terdedah.

"Saya ambil langkah amat berhati-hati, pertama saya nak yakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apa yang saya katakan ini benar-benar boleh jadi realiti. Sebab itu saya buat PoC (Proof Of Concept), bawa mereka lihat," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Semalam ini Reezal menegaskan, peluang yang diberikan kepada peminat bola sepak tanah air itu memerlukan kerjasama semua pihak agar tiada pelanggaran SOP berlaku sepanjang perlawanan tersebut.

"Dua stadium di Johor dan Kuala Lumpur, pada masa sama saya mahu melihat jika penonton boleh ikut peraturan. Mereka perlu datang dan buktikan.

"Jadi saya berpesan kepada peminat sukan, jika mereka gagal (ikut SOP), barangkali ia tidak akan jadi realiti untuk perlawanan berikutnya," jelas Reezal lagi.

BACA: Reezal Merican rayu peminat beri kerjasama di stadium

Beliau mengakui perkara itu bukan mudah untuk dijalankan kerana melibatkan lebih 2,000 penonton pada satu masa. Justeru, kementeriannya bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang memperhalusi SOP yang diperlukan dalam protokol pengurusan penonton.

"Sebab itu PoC ini sangat penting, cara penonton keluar dan masuk (stadium) akan diperhalusi MFL dan KBS. Cuma saya akui, ini bukan satu perkara mudah kerana 2,000 orang seperti sedikit tetapi kalau berada dalam satu kelompok, KKM dan MKN tidak akan benarkan," kata Reezal lagi.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan membenarkan kehadiran penonton ke stadium menerusi SOP yang ketat bermula April depan.

BACA: Kejohanan sukan di stadium dibenarkan dengan kehadiran penonton mulai 1 April ini - Ismail Sabri

Jelasnya, bagaimanapun kebenaran kehadiran penonton bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebanyak 10 peratus bersamaan 2,000 penonton, manakala kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan kadar 25 peratus bersamaan 8,000 penonton.