Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menilai status padang bola sepak Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini sama ada lokasi itu boleh digunakan
untuk separuh akhir Piala AFF Suzuki.

"Pilihan di tangan FAM. Stadium Shah Alam pun sudah bersedia. Keputusan akan dibuat tidak lama lagi," kata menterinya Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota Parlimen Belia di sini hari ini.

Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Malaysia yang berjaya ke peringkat separuh akhir piala tersebut selepas menewaskan Singapura 3-1 malam tadi di Stadium Nasional Kallang Singapura.

Sebelum ini dilaporkan, KBS memutuskan untuk membaik pulih padang Stadium Nasional Bukit Jalil susulan kerosakan yang berlaku selepas perlawanan akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 November lepas.

Pada peringkat separuh akhir awal Disember ini, Malaysia akan bertemu juara Kumpulan A, Vietnam manakala Thailand yang merupakan juara tiga kali, bakal membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Filipina.

Perlawanan separuh akhir akan dijalankan mengikut format timbal balik iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Disember manakala separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Disember ini.