IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkemaskan lagi Program Pencarian Bakat (TID) bagi mencungkil bakat-bakat baru ahli sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, program itu yang dilaksanakan Institut Sukan Negara (ISN) perlu mendapat kerjasama sekolah-sekolah.

Bagaimanapun, pada masa sama, katanya, KBS masih mengharapkan kerjasama daripada persatuan sukan di peringkat daerah dan kampung.

“Saya masih lagi mengharapkan persatuan-persatuan sukan di peringkat daerah dan kampung untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan kecil.

“Dengan menganjurkan kejohanan-kejohanan kecil, kita dapat menyemarakkan industri sukan, dan sukan ini boleh menjadi satu bidang cari makan, semua orang boleh dapat keuntungan daripada industri sukan ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Peringkat Parlimen Tambun bagi merebut Peja Trophy 2021, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah Peringkat Parlimen Tambun itu akan dijadikan acara tahunan.

Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun  berkata, selagi beliau menjadi Ahli Parlimen, pertandingan itu akan diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Menurutnya, pertandingan yang diadakan pertama kali pada Sabtu dan Ahad mendapat sambutan yang sangat baik apabila 27 pasukan mengambil bahagian.

“Tentunya saya akan mencari jalan bagi memastikan pertandingan seperti ini akan terus dianjurkan, bukan sahaja di dalam kawasan Parlimen Tambun, tetapi di daerah-daerah lain juga, termasuk di seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pertandingan itu, Briged Utara FC muncul juara selepas menumpaskan AIMTT FC dengan jaringan  1 - 0 manakala GGR FC mendapat tempat ketiga dan PFB FC keempat.

Juara menerima hadiah wang tunai RM5,000, kedua RM3,000, ketiga RM2,000 dan keempat RM1,000 di samping medal.