ISKANDAR PUTERI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran sebanyak RM7 juta kepada seluruh negeri bagi menaik taraf saliran serta penanaman rumput padang di stadium terpilih.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata geran itu ditawar bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti padang sekali gus memastikan kelancaran ketika perlawanan Liga Malaysia pada musim hujan.

Beliau berkata KBS menawarkan geran itu dan setiap negeri akan menerima sebanyak RM500,000 iaitu RM300,000 bagi menaik taraf saliran dan RM200,000 untuk penanaman rumput padang.

Yeoh berkata pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan menyumbangkan RM300,000 kepada setiap negeri bagi tujuan menyelenggara kerja-kerja menaik taraf yang telah dilakukan.

"Setiap negeri perlu memilih satu stadium dan kerja-kerja bagi projek menaik taraf saliran dan rumput padang itu perlu siap sebelum April tahun ini.

"Setelah kesemua kerja dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang menerima geran, barulah sumbangan RM300,000 daripada Tunku Ismail akan diberikan bagi tujuan penyelenggaraan dalam tempoh setahun," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-2025 di sini hari ini.

Terdahulu, Tunku Ismail berkenan berangkat ke mesyuarat itu dengan diiringi Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari seluruh negara.

Yeoh berkata semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang hadir turut menyambut baik tawaran KBS dan berharap kerajaan negeri terus memberikan kerjasama dalam usaha memajukan sukan negara.

Tunku Ismail pula bertitah geran KBS yang ditawarkan adalah hasil perbincangan antara baginda dan Yeoh pada tahun lepas.

"Saya telah menegaskan tentang kepentingan infrastruktur bola sepak yang berkualiti. Saya berharap dapat melihat infrastruktur di seluruh negara menjadi lebih baik dan menepati piawaian antarabangsa," titah baginda dalam kenyataan berasingan.

-- BERNAMA