ALOR SETAR: Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijangka memberikan penjelasan berhubung beberapa perkara yang melanda kelab itu, minggu depan.

Pemilik majoriti kelab Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata pihaknya dalam pertimbangan untuk mengadakan sidang media bagi menjawab segala persoalan berhubung kemelut yang melanda kelab berkenaan.

"Nanti tunggu awal minggu depan... dalam pertimbangan (adakan sidang media)," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media Selasa lepas yang menyebut Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan hanya 12 pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut laporan itu, ia selepas status Kedah KDA FC masih menjadi tanda tanya kerana masih belum dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu musim lepas.

Sementara itu, KDA FC dalam hantaran di laman rasmi Facebook semalam memaklumkan kelab berkenaan telah menerima surat pengesahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 9 April, memaklumkan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan pada 4 Mac 2024 telah ditarik balik.

Dengan pengesahan tersebut ia membolehkan pihak kelab membuat pendaftaran pemain baharu bagi saingan musim 2024/2025.

Sebelum ini, media melaporkan KDA FC tidak boleh mendaftar pemain baharu dalam sainganLiga Malaysia musim ini sehingga FIFA menarik semula sekatan perpindahan pemain terhadap kelab itu.

Sekatan oleh FIFA itu melibatkan tuntutan bekas pemain import pasukan Kedah pada musim 2020 dan 2021 yang bersangkutan dengan rekod cukai pendapatan tertunggak pemain import bagi tahun berkenaan.

-- BERNAMA