JURULATIH futsal FELDA United, Zul'azmi Zulkifli menegaskan kedudukan Liga Futsal Kebangsaan masih belum jelas walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beri jaminan ia tetap akan diadakan tahun ini.

FAM menerusi setiausaha agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Liga Futsal Kebangsaan akan diadakan pada Julai iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, timbul persoalan di kalangan pasukan-pasukan bertanding apabila tiada sebarang makluman untuk mereka membuat persiapan ke kejohanan itu sehingga kini.

Liga Futsal Kebangsaan 2016 sepatutnya diadakan selepas Kejohanan Futsal AFC iaitu pada Mac atau April.

Namun, liga itu masih tidak dianjurkan sehingga kini malah kedengaran ia mungkin tidak dapat diadakan tahun ini selepas FELDA enggan menjadi penaja utama.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menuntut liga itu tetap dianjurkan FAM selepas futsal bakal disenaraikan semula untuk Sukan SEA 2017.