Menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung insiden kekecohan ketika perlawanan antara T-Team dan JDT pada Sabtu.

Pada masa yang sama, beliau berharap perkara itu diselesaikan dengan baik mengikut perlembagaan persatuan serta proses perundangan di negara ini.

Beliau turut menyatakan rasa kesalnya dengan apa yang berlaku dan berharap FAM akan berlaku adil dengan kes ini.

Beliau berkata demikian sebaik tiba di Kuala Terengganu selepas lawatannya ke Antartika.

Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia, Rozi Mamat sebelum ini berkata kerajaan negeri Terengganu memanggil pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu dan T-Team bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden kekecohan berkenaan.

Mesyuarat jawatankuasa pertandingan tempatan yang bakal diadakan Khamis ini akan membincangkan laporan daripada komisioner, pengadil, serta koordinator perlawanan kedua-dua pasukan.

Pada Ahad, T-Team membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan sementara JDT membuat laporan pada Selasa melalui peguam.