JURULATIH Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic, mengakui faktor penyokong mampu mempengaruhi permainan anak buahnya ketika berdepan Harimau Malaya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Tarkovic yang dilantik Mei lalu menganggap anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan skuad kebangsaan Kim Pan-gon esok.

"Kami datang awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan rumput dan pihak Malaysia membantu kami menyediakan kemudahan untuk menjalani persiapan.

"Malaysia ketika ini mempunyai pasukan terbaik tahun lalu. Kami memantau perlawanan membabitkan Malaysia dan pemain.

"Aksi di padang kelak akan mewakili diri sendiri, pasukan dan negara.

"Ramai pemain Malaysia yang perlu diberi perhatian. Kami perlu kaji kelemahan sudah tentu kedua-dua pasukan akan beraksi sengit," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Tarkovic turut melabel perlawanan ini ibarat pesta dan semua orang mengambil bahagian menikmati perlawanan.

"Kami mahu melolosi peringkat kumpulan dan langkah pertama ialah bertemu Malaysia sebelum menghadapi perlawanan Oman yang dianggap sebagai lawan yang paling sukar.

"Mereka adalah pasukan pilihan. Mereka di ranking lebih tinggi.

"Setiap perlawanan adalah penting dan kami perlu berkembang.

"Tapi kami pasukan dalam kumpulan ini satu persatu perlawanan berdasarkan situasi semasa.

"Ini kumpulan yang sukar dan pasukan yang akan mara akan ditentukan dalam perlawanan ketiga.

"Kami perlu berikan persembahan dan kami sudah bersedia untuk berikan aksi terbaik. Perlawanan ini penting buat kami dan Malaysia yang bermain di hadapan penyokong sendiri dan kami perlu beraksi dengan yakin. Kami perlu menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan.

"Kami tidak pasti berapa ramai penyokong akan hadir esok tetapi kami sedia menghadapi tekanan. Ini perlawanan yang cukup getir buat  saya dan saya harap kami dapat meraikan kemenangan.

"Setiap perlawanan bermula 0-0 dan kami sudah bersedia memperagakan corak permainan yang berbeza dengan pemain yang lebih handal. Mereka bermotivasi tinggi dan berada di prestasi terbaik," katanya lagi. - Stadium Astro