Ketua Ferrari nasihatkan Hamilton kawal kritikan diri yang terlalu keras

Hamilton menyifatkan musim pertamanya bersama Ferrari sebagai yang paling teruk sepanjang kerjayanya selama 19 tahun. - AP
LONDON: Lewis Hamilton digesa supaya "bertenang" oleh prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur susulan kritikan terbaharu juara dunia tujuh kali itu terhadap prestasinya sendiri, lapor PA Media/dpa.
Hamilton menyifatkan musim pertamanya bersama Ferrari sebagai yang paling teruk sepanjang kerjayanya selama 19 tahun selepas beraksi pada Grand Prix (GP) Las Vegas apabila beliau menamatkan sesi kelayakan di kedudukan terakhir.
Pemandu berusia 40 tahun itu turut berkata beliau tidak sabar menamatkan musim ini - dengan baki dua pusingan di Qatar pada Ahad dan Abu Dhabi hujung minggu minggu berikutnya - malah menambah bahawa beliau juga tidak terlalu menantikan musim depan.
Bagaimanapun, Vasseur berkata: "Saya faham reaksi Lewis sejurus selepas perlumbaan. Tetapi beliau perlu bertenang dan memberi tumpuan kepada dua perlumbaan terakhir.
"Lewis beraksi baik dalam sesi latihan dan rentaknya juga bagus, tetapi bermula dari kedudukan ke-20 bukan cara terbaik untuk mendapatkan keputusan yang baik.
"Buat masa ini, kita perlu bertenang. Apabila seseorang keluar dari kereta dan membuat kenyataan awal, biasanya ia agak keterlaluan."
Musim sulung Hamilton yang penuh malang bersama Ferrari mencapai titik terendah di Las Vegas apabila beliau mencatat masa paling perlahan dalam sesi kelayakan.
Walaupun berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 sebelum dinaikkan ke tempat kelapan selepas penyertaan Lando Norris dan Oscar Piastri dibatalkan, beliau menamatkan perlumbaan hampir satu minit di belakang pemenang, Max Verstappen.
Hamilton kini ketinggalan 74 mata di belakang rakan sepasukannya, Charles Leclerc, dalam kedudukan pemandu. Beliau masih menanti podium pertamanya bersama Ferrari. Setakat ini, beliau telah tewas dalam sesi kelayakan kepada Leclerc sebanyak 17 kali dalam 22 perlumbaan.
Ferrari pula jatuh ke tangga keempat dalam kejuaraan pengeluar. Ketika ditanya sama ada Scuderia mampu memintas bekas pasukannya Mercedes yang kini mendahului 53 mata bagi "merebut semula" kedudukan naib juara, Hamilton yang kecewa berkata: "Dengan prestasi saya sekarang, kami tidak (mempunyai peluang).
"Saya sudah mengharungi 22 hujung minggu yang buruk musim ini, jadi saya menjangkakan beberapa lagi."
Hamilton akan kembali ke kokpit Ferrarinya di Doha pada Jumaat, ketika rakan senegaranya Norris berusaha memenangi gelaran dunia pertamanya.
Pemandu Britain itu akan merangkul gelaran berkenaan sekiranya beliau mengumpul sekurang-kurangnya dua mata lebih daripada Verstappen dari Red Bull dan rakan sepasukan di McLaren, Piastri, sepanjang hujung minggu perlumbaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


