KUALA LUMPUR: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan hanya empat mata apabila hanya mampu menduduki tempat ke-33 daripada 152 peserta pada Kejohanan Lelaki Dunia ILCA 7 di Adelaide, Australia.

Pemenang pingat perak Sukan Asia dua kali itu, yang sedang berusaha untuk penampilan keempat berturut-turut di Olimpik, terlepas tujuh slot merit selepas tempat ke-33 itu meraih 165 mata bersih dalam kelayakan di Kelab Pelayaran Adelaide dari 24-31 Jan.

Emil Bengtson dari Sweden meraih tempat kelayakan terakhir selepas menduduki tempat ke-30 dengan 161 mata, manakala juara Olimpik Tokyo 2020, Matthew Wearn mempertahankan mahkota dunianya dengan 24 mata.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu catatan di media sosial memaklumkan atlet berusia 30 tahun itu mempunyai satu peluang terakhir untuk layak ke Paris 2024 apabila bertanding di Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 18 hingga 27 April ini.

Sementara itu, Khairulnizam yang membuat penampilan sulung Sukan Olimpik pada edisi 2012 di London, yakin akan berada di Paris 2024 walaupun tidak mendapat sebarang bantuan kewangan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA).

"Ucapan terima kasih buat keluarga yang sentiasa menyokong dan membantu terutamanya dari segi kewangan untuk menyertai kejohanan ini kerana saya tidak menerima apa-apa bantuan kewangan dari MSN ataupun persatuan kebangsaan bagi kejohanan penting ini.

"Saya bersyukur kerana menerima bantuan daripada jurulatih Thailand semasa latihan dan perlumbaan di sini kerana tiada jurulatih dihantar oleh MSN atau persatuan. Dengan pelbagai halangan dan dugaan, saya masih lagi mampu untuk bersaing hingga ke perlumbaan terakhir," katanya dalam Facebooknya.

Setakat ini, pelayar wanita Nur Shazrin Latif, Johnathan Wong (menembak), Bertrand Rhodict Lises (terjun), Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan pelumba berbasikal Nur Aisyah Mohd Zubir (lebuh raya) telah mengesahkan tiket ke Paris Olimpik 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Acara pelayaran dijadual bermula 28 Julai hingga 8 Ogos di Marseille Marina.

-- BERNAMA