Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata mustahil untuk menghalang penyokong Ultras Malaya memasuki stadium, namun berharap dapat bertemu mereka bagi menjernihkan keadaan.

Khairy berkata beliau sedia bertemu penyokong Ultras Malaya bagi mengelak insiden tidak diingini memandangkan kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berlangsung Mei depan.

“Masa kongres FAM tidak lama lagi. Kita semua faham, kita bukan bodoh, kita faham simboliknya. Cuma saya rasa, cukuplah di situ. Saya merayu,” kata Khairy.

Dalam insiden ketika perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan Filipina pada hari Sabtu, penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lapan minit.

Insiden memalukan yang berlaku pada minit ke-31 itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap 30 tahun pentadbiran Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Kejadian itu juga disifatkan jurulatih Harimau Malaya sebagai antara punca pasukan negara sekadar seri menentang Filipina kerana para pemain kehilangan fokus meskipun lebih menguasai perlawanan pada minit-minit awal.

Insiden tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak. Ada yang mendakwa Ultras Malaya kini samseng bola sepak dan tidak kurang juga mendakwa mereka kurang ajar. Namun, mereka tetap penyokong yang membeli tiket dan berhak memasuki stadium.

Sementara itu, Kementerian Belia Dan Sukan sedia membantu Konfederasi Hoki Malaysia menyelesaikan kemelut pemain kelahiran Pulau Pinang yang memiliki kewarganegaraan Jerman, Kevin Lim.

Pemain berusia 27 tahun ini meraih 38 caps bersama skuad Jerman.

“Kita akan menyemak dengan badan antarabangsa supaya dapat satu penjelasan, kita tidak mahu menyenaraikan seorang yang tidak berlayak untuk main untuk kita,” kata Khairy.