KUALA LUMPUR: Faktor tekanan mampu menjadi punca kegagalan skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan dalam memburu kejayaan gemilang pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang bakal membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.

Perkara itu disuarakan bekas pengendali skuad B-22 kebangsaan Datuk Ong Kim Swee yang melihat faktor tekanan untuk membawa pulang pingat di temasya sukan dwitahunan itu sebagai antara cabaran utama dalam kejohanan berkonsepkan karnival.

Bercakap berdasarkan pengalaman luasnya, ketua jurulatih Sabah FC itu yang membimbing skuad Harimau Muda meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia berkata tumpuan pasukan seharusnya terarah kepada usaha mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan.

"Kalau lihat pengalaman saya di lima edisi Sukan SEA (bermula 2011 hingga 2019), setiap kali akan ada sesetengah pihak katakan ini tidak penting, kejohanan kelas kedua dan ada yang inginkan sesuatu.

"Bagi saya apabila Sukan SEA, kita sentiasa tumpu kepada keputusan, jadi saya percaya kita tidak harus beri tekanan kepada pemain iaitu mereka harus pulang dengan pingat, yang penting pemain mesti berada pada tahap terbaik dan fokus kepada setiap perlawanan," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata pasukan tidak boleh memikirkan untuk bermain di peringkat separuh akhir mahupun akhir sebelum memulakan saingan, sebaliknya perlu segera mendapatkan keyakinan terutama dalam perlawanan sulung Kumpulan B bertemu Laos di Phnom Penh esok.

Malaysia kemudian dijadual membuat perhitungan menentang pemenang emas terbanyak, Thailand pada 6 Mei diikuti juara bertahan, Vietnam (8 Mei) dan menutup saingan Kumpulan B bertemu Singapura yang masih belum pernah memenangi emas pada 11 Mei.

Menurut Kim Swee, tekanan yang begitu tinggi dipikul pemain dalam setiap perlawanan berpotensi memberikan impak negatif yang mendalam kepada mereka sekali gus meletakkan pasukan dalam bahaya.

Bagaimanapun, beliau percaya skuad B-22 kebangsaan kendalian E. Elavarasan yang merupakan penolong ketua jurulatih skuad senior kebangsaan mampu berdepan cabaran getir di Phnom Penh.

"Dengan barisan pemain yang kita ada, saya percaya mereka mampu menggalas tugas dengan cukup baik dan ada antara mereka bermain dalam liga utama kita secara konsisten. Pada masa sama, saya percaya Elavarasan mempunyai pengalaman luas bersama kejurulatihan pasukan senior negara.

"Ini penting untuk pastikan pasukan fokus, bagi saya lebih baik kita fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan dan tidak harus memikirkan tentang pasukan Vietnam mahupun Thailand," kata jurulatih berusia 52 tahun itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan layak ke peringkat separuh akhir bukan jaminan anak buah Elavarasan akan melangkah dengan mudah ke final sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan, namun cukup untuk menyuntik semangat pemain bagi berjuang memburu 'ibu segala pingat'.

"Walaupun kita diletakkan dalam kumpulan yang boleh dikatakan amat sukar, bagi saya kalau kita dapat layak ke peringkat seterusnya (separuh akhir), sudah tentu ini bukan menyenangkan tetapi akan memberi lebih motivasi dan keyakinan kepada pemain untuk layak ke peringkat akhir," katanya.

Kim Swee menjadi jurulatih terakhir yang membimbing skuad B-22 kebangsaan memenangi emas di Sukan SEA untuk mempertahankan kejayaan yang dicipta Malaysia pada edisi 2009 di Laos sebelum impian mengulangi kejayaan sama tidak kesampaian apabila meraih perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Pada edisi 2013 di Myanmar, skuad bimbingannya sekadar mara ke peringkat separuh akhir dan tewas pada perlawanan penentuan pingat gangsa sementara pada edisi 2015 (Singapura) dan 2019 (Filipina) pasukan kendaliannya terkandas di peringkat kumpulan.

Edisi terakhir di Vietnam tahun lepas menyaksikan skuad B-22 kebangsaan kendalian jurulatih dari Australia, Brad Maloney pulang dengan tangan kosong selepas tewas pada perlawanan penentuan pingat gangsa.

-- BERNAMA