KUALA TERENGGANU: Pemain import Terengganu FC (TFC) Makan Konate teruja apabila terpilih menyertai skuad kebangsaan Mali buat pertama kali sebagai persediaan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Menurut Konate, panggilan tersebut sememangnya sangat diidamkan dan ditunggu sejak beliau mula menceburkan diri secara profesional dalam arena bola sepak pada 2010.

"Minggu lepas saya ada terima panggilan daripada penolong jurulatih (skuad kebangsaan Mali). Mereka ada lihat video permainan saya bersama TFC.

"Mereka (memaklumkan) akan panggil saya (menyertai skuad kebangsaan Mali) kerana prestasi permainan bagus dalam pasukan dan posisi. Sudah pasti saya gembira kerana dapat bertemu dan sertai ramai pemain daripada pelbagai pasukan di sana nanti," katanya kepada pemberita.

Pada masa ini, Konate bersama skuad Penyu sedang menjalani latihan secara 'camp based' di Scout Inn Resort di sini selama sembilan hari bermula 24 Mei berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mengulas lanjut, Konate yang pernah menyertai liga Indonesia dan Filipina berkata, beliau akan memulakan latihan bersama skuad kebangsaan Mali pada 1 Jun depan sebelum mengharungi tiga aksi perlawanan persahabatan di Algeria dan Tunisia.

Meskipun bakal beraksi buat pertama kali, beliau bertekad untuk memberi persembahan terbaik demi merebut tempat dalam skuad utama Mali.

"InsyaAllah esok malam saya akan bertolak pulang (ke Mali) dan akan mula latihan pada 1 Jun.

"Ada tiga perlawanan iaitu pada 7, 11 dan 15 Jun. Jika saya dapat tunjukkan aksi terbaik mungkin akan terpilih (skuad utama Mali)," katanya.

-- BERNAMA