ARSENAL gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 0-2 di tangan West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Jumaat.

Ia adalah kekalahan pertama skuad kendalian Mikel Arteta di Stadium Emirates pada musim ini.

Pertembungan di Emirates itu menyaksikan The Gunners lebih mendominasi pasukan pelawat tetapi ketumpulan di jentera serangan menyebabkan anak buah Arteta berputih mata.

West Ham mengejutkan Arsenal menerusi gol kontroversi Tomas Soucek pada minit ke-13.

Jaringan pertama West Ham itu mencetuskan persoalan sama ada bola daripada hantaran Jarrod Bowen telah terkeluar daripada garisan sebelum disempurnakan Soucek dari jarak dekat.

Video bantuan pengadil (VAR) mengambil masa tiga minit setengah untuk menentukan sama ada bola tersebut masih dalam permainan.

Bagaimanapun ulang tayang semula 15 minit selepas jaringan Soucek disahkan pengadil, Micheal Oliver memaparkan bahawa bola jelas terkeluar daripada garisan.

Pasukan pelawat menjaringkan gol kedua menerusi bekas pertahanan Arsenal dari Greece, Konstantinos Mavropanos m-55.

Anak buah David Moyes berpeluang menambah gol ketiga, namun sepakan penalti Said Benrahma pada minit akhir perlawanan berjaya ditepis keluar David Raya.

Ini adalah kali kedua dalam musim ini Arsenal dibolosi menerusi gol kontroversi VAR.

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal kekal di tangga kedua liga, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liverpool. - Sinar Harian