KUALA LUMPUR: Pasukan kriket kebangsaan muncul juara Siri T20I Quadrangular Malaysia 2022 selepas menumpaskan Bhutan pada aksi final, hari ini.

Menurut laman web Persatuan Kriket Malaysia, pasukan kebangsaan berjaya menewaskan Bhutan dengan sembilan wiket pada perlawanan yang berlangsung di Oval UKM, Bangi.

Pasukan Bhutan yang memulakan pukulan terlebih dahulu, sekadar mencatat 82 larian dengan kehilangan 10 wiket, sebelum Malaysia mengejar dengan 84 larian dan kehilangan satu wiket sahaja.

Pemain negara Syed Aziz Syed Mubarak dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berjaya mencatatkan 44 larian, selain turut meraih satu wicket.

Kemenangan hari ini juga menyaksikan Malaysia berjaya mengekalkan rekod bersih dalam kejohanan itu, selepas memenangi semua enam perlawanan di peringkat liga sepusingan untuk mara ke final sebagai juara dengan 12 mata penuh.

Ketua Pasukan Malaysia Ahmad Faiz Mohammad Noor berkata beliau sangat gembira dengan prestasi rakan sepasukannya walaupun sudah dua tahun tidak bersaing secara kompetitif susulan pandemik COVID-19.

"Dengan semangat juang setiap pemain, kita berjaya memperoleh kejuaraan dan mengharapkan kemenangan ini memberi sedikit motivasi buat pertandingan seterusnya.

"Kita mendapat sedikit cabaran dari Bhutan pada perlawanan kedua sebelum ini, tetapi semua pemain memberi kerjasama dan permainan yang terbaik, merekodkan kemenangan yang cukup besar buat kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga menegaskan pasukan negara harus meneruskan momentum yang positif itu agar mereka boleh memenangi setiap kejohanan akan datang.

Pasukan Malaysia akan berlepas ke Kanada Ahad ini bagi saingan format 50-over, Liga A Cabaran Piala Dunia dari 27 Julai hingga 6 ogos.

-- BERNAMA