SKUAD ragbi 15s negara bakal kembali beraksi apabila Kejohanan Asia kembali mewarnai kancah sukan Januari tahun depan, bagi memastikan skuad bunga raya mendapat persiapan rapi, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) melantik bekas pemain All Blacks, Rodney So'oialo sebagai jurulatih negara baru.

Selepas hampir dua tahun tidak beraksi, skuad negara menerima suntikan semangat baru dengan perlantikan So'oialo.

Dan tugasan pertamanya, memimpin skuad bunga raya dalam Kejohanan Ragbi Asia menentang Hong Kong dan Korea Selatan tahun depan.

So'oialo merupakan bekas kapten skuad ragbi New Zealand 15s antara tahun 2002 sehingga 2009 dan telah mengumpul sebanyak 62 kaps.

"Semestinya berusaha untuk membantu skuad Malaysia memperbaiki mutu permainan. Saya telah menyaksikan beberapa perlawanan skuad negara," kata Rodney.

"Terdapat beberapa perubahan yang perlu dilakukan serta gaya permainan yang lebih mantap akan cuba diterapkan ke dalam pasukan. Namun perkara paling penting adalah kesefahaman antara pemain di atas padang harus menjadi perkara yang paling penting untuk dipertingkatkan."

"Setiap jurulatih memiliki cara yang berbeza. Saya berharap kehadiran beliau akan berusaha meningkatkan lagi kemampuan pasukan," kata pemain negara, Amirul Aqil Kamsol.

"Pengalamannya bersama All Blacks akan digunakan sebagai bekalan untuk membimbing pasukan."