'LAWANNYA bukan baru semalam belajar badminton.' Itu kata-kata Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, mengenai prestasi kurang memuaskan skuad negara pada Terbuka Malaysia 2023.

Kejohanan tersebut menyaksikan skuad beregu lelaki dan wanita yang di bawah kendalian Rexy terkandas seawal pusingan kedua.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Tee Kai Wun-Man Wei Chong terkandas pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Izzuddin-Sze Fei diundi bertemu gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang berada di ranking lebih rendah daripada mereka namun tewas 21-16, 11-21, 17-21.

Turut menimpa nasib yang sama adalah Wei Chong-Kai Wun yang tewas kepada bekas beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya 18-21, 21-23.

"Saya berharap mereka akan terus belajar dan memperbaiki kelemahan dalam setiap perlawanan. Lawan yang mereka bertemu bukan baru semalam belajar bermain badminton, jadi pemain negara terus memperbaiki setiap aspek," kata Rexy.

Manakala ia cerita berbeza buat juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya menepati jangkaan peminat badminton untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia.

Mereka terkandas apabila tewas kepada gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23.

Kekalahan tersebut jelas menghampakan beberapa pihak yang meletakkan kepercayaan tinggi terhadap gandingan negara untuk melakar kejutan.

Selain itu, yang dikejutkan ketika Terbuka Malaysia adalah juara Terbuka Perancis, Pearly Tan-M. Thinaah, yang terkandas pada pusingan pertama kejohanan.

Walaupun mempunyai rekod pertemuan yang baik menentang gandingan Bulgaria, Gabriela-Stefani Stoeva, mereka terpaksa akur dengan keputusan 19-21, 14-21.

"Mereka seharusnya memiliki keberanian. Mereka sudah berada di tahap kelas dunia. Situasi kekal dalam zon selesa itu masih ada dan mereka perlu keluar untuk terus mendapatkan keputusan yang positif," ujar Rexy.

Selain itu, jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berpuas hati setakat ini dengan prestasi yang dipamerkan barisan pemain di bawah kendaliannya.

Walaupun baru sahaja digandingkan, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, melakar kejutan apabila mara ke pusingan kedua kejohanan sebelum tewas kepada pilihan ketujuh, Thom Gicquel- Delphine Delrue 18-21, 21-13, 12-21.

Namun yang paling menyerlah sudah pasti gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang melangkaui jangkaan ramai untuk mara ke aksi suku akhir.

"Mereka merupakan pasangan baru dan percaturan ini telah membuahkan keputusan yang agak positif. Saya optimis mereka mampu mendapatkan lebih banyak kemenangan dalam kejohanan akan datang," kata Nova.