Pasukan League of Legends Kuala Lumpur Hunters (KLH) muncul juara Liga Kejohanan League of Legends Malaysia (LCM) selepas mengalahkan pasukan Fire Dragoon 3-1 pada final.

KLH membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000 dan terpilih mewakili Malaysia untuk Garena Premier League (GPL) 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada hujung bulan ini.

“Perjalanan memang sukar pada awal liga ini tapi kami berjaya juga. Kami bangga untuk mewakili Malaysia sekali lagi.

"Terima kasih kepada mereka yang terus percaya kepada kami. Masa untuk berehat dan mengilap skil bagi persiapan menjelang GPL," kata KLH dalam satu kenyataan semalam.

Selain menjuarai kejohanan itu selama lima kali berturut-turut, KLH juga membawa pulang anugerah bagi kategori Pemain Terbaik, Pemain Pembantu Terbaik dan Pemain Jungler Terbaik.

Pada kejohanan GPL nanti, KLH bakal bertarung dengan pasukan terbaik dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina untuk mendapat peluang bagi mewakili rantau ini dan bertanding di Mid Season Invitationals anjuran Riot Games di Berlin Jerman.