LEGENDA bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer, yang disifatkan ramai sebagai salah seorang pemain terbaik dunia, meninggal dunia pada usia 78 tahun pada Ahad.

Namun punca kematian tidak didedahkan.

Mendiang memenangi Piala Dunia sebagai kapten pasukan Jerman Barat pada tahun 1974 dan berjaya menjulang piala itu semula sebagai pengurus pasukan pada tahun 1990.

Beckenbauer, yang bermain pada posisi pertahanan, bermain sebanyak 582 kali untuk pasukan Bayern Munich.

Diberi gelaran 'Der Kaiser', sebagai pemain, mendiang juga pernah memenangi Kejohanan Eropah pada tahun 1972 selain Ballon d'Or sebanyak dua kali.

Beckenbauer turut berjaya menjaringkan 4 gol semasa Piala Dunia 1966 sebagai pemain tengah pada usia 20 tahun dan memenangi anugerah sebagai pemain muda terbaik kejohanan itu.

Mendiang kemudian bermain sebanyak 103 kali untuk Jerman Barat.

Beckenbauer merupakan antara tiga pemain di dunia yang berjaya menjulang Piala Dunia sebagai kapten pasukan dan pengurus.

Dua lagi individu adalah Mario Zagallo dari Brazil dan Didier Deschamps dari Perancis.

Zagallo dilaporkan meninggal dunia minggu lepas pada usia 92 tahun.

Sebagai pemain Bayern, Beckenbauer memenangi empat kejohanan liga dan menjadi kapten pasukan ketika Jerman Barat memenangi Piala Eropah pada tahun 1974, 1975 dan 1976.

Mendiang juga memenangi Kejohanan Bundesliga bersama pasukan Hamburg pada tahun 1982.

Selepas meninggalkan Bayern, Beckenbauer bermain untuk pasukan New York Cosmos.

Ketika itu Beckenbauer bersama legenda Brazil Pele menjadi ikon Liga Bolasepak Amerika Utara.
 

Legenda bola sepak Franz Beckenbauer (kiri) bersama Edson Arantes Do Nascimento atau Pele ketika satu sidang akhbar yang diadakan di New York pada tahun 2006. - Foto AP

Mendiang bersara sebagai pemain pada tahun 1983 dan beberapa bulan kemudian Beckenbauer dilantik sebagai pengurus pasukan Jerman Barat.

Sebagai pengurus, mendiang membawa pasukannya ke final Piala Dunia 1986 menentang Mexico sebelum memenangi kejohanan berprestij itu empat tahun kemudian menentang Argentina.

Beckenbauer pernah menjadi pengurus pasukan Marseille pada tahun 1990 sebelum berpindah ke Bayern sehingga 1996.

Mendiang kemudian menjadi Presiden pasukan Bayern dan dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) pada tahun 1998.

Presiden badan bola sepak dunia Fifa, Gianni Infantino menggelar Beckenbauer sebagai "legenda Jerman dan dunia bola sepak".

Pada tahun 2007, Beckenbauer menerima anugerah pencapaian seumur hidup Laureus yang disampaikan oleh Sir Bobby Charlton.