KUALA LUMPUR: Tiga pemain Terengganu Hockey Team (THT) yang sedang menjalani kuarantin selepas disah positif COVID-19 perlu mengemukakan surat pengisytiharan bebas COVID-19, sebelum dibenarkan menyertai Gelembung Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2021 pada 11 Mac ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ia bagi memastikan mereka benar-benar sembuh, sekali gus mengelakkan risiko jangkitan kepada pemain lain.

Ketiga-tiga pemain terbabit adalah Faisal Saari; Abd Khalid Hamirin (penyerang) serta Shello Silverius (pemain tengah).

“Kita nak tahu sebelum mereka masuk pada 10 Mac ini mesti mereka membawa surat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengiktirafkan bahawa mereka adalah bebas COVID-19.

“Tiga pemain itu perlu menunjukkan surat rasmi daripada KKM yang mengatakan bebas dan tidak menjadi masalah untuk menjangkiti orang lain. Untuk tempoh ini, mereka tidak dibenarkan datang,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan Hotel Pullman Kuala Lumpur sebagai penginapan rasmi bagi penganjuran gelembung Kejohanan TNBMHL 2021 di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Subahan berkata jika ketiga-tiga pemain skuad gergasi Pantai Timur itu dalam senarai berdaftar, mereka masih boleh menyertai perlawanan walaupun mengemukakan surat selepas tarikh pendaftaran masuk, 10 Mac ini.

"Bagaimana kita mahu tahu, mereka perlu membawa surat KKM. Mungkin Majlis Sukan Negara (MSN) boleh bantu dari aspek tersebut, tetapi mereka perlu tunjukkan surat.

"Tidak kira Faisal Saari, atau pemain terkenal pun kita tidak akan benarkan (jika tiada surat)," katanya.

Mengenai pemilihan Hotel Pullman Kuala Lumpur sebagai penginapan rasmi pemain pula, beliau berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan kedudukan hotel tersebut, selain harga yang ditawarkan serta kemudahan fasiliti yang dimiliki hotel berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Stadium Hoki Nasional kekal selaku venue kejohanan dengan saingan lelaki akan bermula pada 11 Mac, sementara kategori wanita pula akan memulakan saingan pada 15 Mac dengan acara final bagi kedua-dua kategori akan berjalan serentak pada 3 April.

MHL 2021 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 14 Januari hingga 20 Februari, namun ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.