REAL Madrid bergelut di awal permainan sebelum membenam Legia Warsaw 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi bagi melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 23 perlawanan dalam semua pertandingan yang mereka sertai.

Madrid dipaksa bekerja keras sebelum Gareth Bale membuka tirai dengan ledakan gol pertamanya dalam kempen Liga Juara-Juara sejak Disember 2014, namun Vadis Odidja-Ofoe sempat menghadirkan debaran di Stadium Santiago Bernabeu apabila percubaannya singgah tiang gol, ia antara beberapa percubaan awal yang mereka perolehi menerusi serangan balas.

Gol sendiri Tomasz Jodlowiec tidak mudah mematahkan semangat Legia dan hasilnya, Miroslav Radovic berjaya memenangi dan menyumbat sepakan penalti untuk Legia kembali memberi saingan.

Legia bagaimanapun tersentak apabila Marco Asensio menyumbat gol pertamanya dalam kempen Liga Juara-Juara untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Pelawat terus bergelut apabila Madrid memperkemaskan permainan di babak kedua untuk terus mengukuhkan cengkaman dengan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, membuat keputusan tepat untuk cuba menambah sengat di bahagian serangan dengan mempertaruhkan Lucas Vazquez dan Alvaro Morata.

Vazquez meletakkan Madrid semakin selesa di hadapan dengan menyudahkan peluang ketika permainan berbaki 22 minit, sebelum Morata dengan tenang menyumbat satu gol lagi pada lewat permainan untuk Madrid mengumpul tujuh mata dalam tiga perlawanan Kumpulan F.