KUALA LUMPUR: Hasrat Kuala Lumpur (KL) City FC melakar kemenangan ketiga berturut-turut untuk menutup kempen Liga Super 2023 dengan bergaya tidak kesampaian selepas seri tanpa jaringan ketika bertemu Sri Pahang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.

Pada aksi terakhir kedua-dua pasukan musim ini, permainan hambar dipamerkan sepanjang 45 minit babak pertama yang menyaksikan tiada sebarang percubaan berbahaya dilakukan.

Pasukan tuan rumah bimbingan Nenad Bacina bangkit dengan persembahan lebih meyakinkan di babak kedua namun gagal menyempurnakan dua peluang keemasan selepas percubaan penyerang import Patrick Alcala Reichelt sedikit tersasar dan rembatan dari luar kotak penalti Paulo Josue sekadar menggegar palang.

Keputusan itu membolehkan Sri Pahang menamatkan saingan 2023 di kedudukan kelima dengan mengumpul keseluruhan 45 mata sekali gus Fandi Ahmad berjaya memperbaiki pencapaian skuad Tok Gajah yang menduduki posisi ketujuh musim lepas dalam tahun pertamanya sebagai ketua jurulatih.

KL City pula di kedudukan keenam dengan mengumpul 38 mata dan tempat itu boleh dipintas Terengganu FC yang berada di tangga ketujuh dengan 37 mata selain memiliki kelebihan gol jika menang ke atas Perak di laman sendiri esok.

Sementara itu, juara musim ini Johor Darul Ta'zim (JDT) yang masih segar dengan rekod kejuaraan ke-10 berturut-turut, mencipta sejarah menjadi kelab pertama menjaringkan 100 gol dalam satu musim Liga Super selepas membelasah Penang FC 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pada pertembungan itu, pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi mencuri tumpuan apabila meledak empat gol termasuk satu sepakan penalti di penghujung perlawanan yang melengkapkan gol ke-100 skuad Harimau Selatan sekali gus mengatasi rekod tertinggi 61 gol pada musim lepas.

Penyerang import prolifik dari Brazil Bergson Da Silva tidak ketinggalan mempamerkan sentuhan selepas mengumpul dua gol manakala Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Heberty Fernandes melengkapkan senarai penjaring selepas masing-masing mencetak satu gol.

JDT, yang mencipta rekod double treble susulan kejayaan menjulang Piala Malaysia baru-baru ini, menutup kempen Liga Super 2023 dengan mengumpul keseluruhan 76 mata hasil daripada 25 kemenangan dan hanya seri sekali ketika bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar, Ogos lepas,

Penang pula memperbaiki pencapaian tempat ke-12 musim lepas apabila berada di posisi ke-10 dengan 24 mata namun Perak, yang mengumpul 22 mata, berpeluang memintas kedudukan itu jika menang ke atas Terengganu.

Dalam pada itu, Kelantan United FC menamatkan episod tiga kekalahan berturut-turut apabila merakam kemenangan keempat musim ini selepas mengatasi pasukan tercorot Kelantan FC 6-2 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Skuad The Red Warriors menjadi pasukan dengan rekod bolos terbanyak dalam satu musim Liga Super selepas dibolosi 121 gol musim ini.

-- BERNAMA