KUALA LUMPUR: Selangor FC menepati ramalan apabila menundukkan Perak FC 4-0 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor petang tadi.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Selangor berada di landasan tepat dalam misi memburu kemenangan dalam baki tiga perlawanan bagi liga musim ini.

Gawang pasukan pelawat mula dirobek seawal minit ketiga menerusi jaringan Sharul Nazeem yang menerima hantaran Yohandry Orozco untuk meletakkan Selangor di depan.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang terus mengasak kubu Perak untuk mencari gol kedua berjaya menggandakan kedudukan hasil penyudah Mukhairi Ajmal yang menyambut hantaran Ayron Del Valle.

Selangor kemudian hampir memproleh peluang untuk membedil jaringan ketiga pada minit ke-35 dan 37 apabila Fazly Mazlan dan Ayron cuba merembat bola ke gawang namun kedua-duanya tersasar melegakan pengendali Perak, Yusri Che Lah.

Bersambung babak kedua, perlawanan masih didominasi Selangor yang menyerang bertali arus untuk menambah derita Perak berhasil apabila Orozco dan Ayron membuahkan jaringan ketiga dan keempat pada minit ke-77 dan 80, keputusan kekal 4-0 hingga ke wisel penamat.

Selangor kini mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super 2023 dengan 55 mata.