UNAI Emery berkata Villarreal mesti mencuba dan 'melayari gelombang pengalaman' yang mereka perolehi apabila mereka bertemu Liverpool untuk merebut tempat ke final Liga Juara-Juara.

Villarreal menyingkirkan gergasi Serie A, Juventus dan juara Bundesliga, Bayern Munich, secara mengejut ke pusingan empat terakhir.

Yellow Submarines bertandang ke Anfield untuk perlawanan pertama esok dan memiliki perancangan untuk melakar satu lagi kejutan.

Villarreal menewaskan Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Europa musim lalu dan ia akan menjadi cerita yang luar biasa jika mereka memenangi pertandingan kelab utama Eropah di Seville bulan depan.

Emery menilai pencabar kejuaraan Liga Perdana, Liverpool, yang mengintai empat kejuaraan yang belum pernah terjadi sebelumnya, sebagai pilihan untuk menjulang trofi dan tahu pasukannya bukan lagi sekadar pasukan yang hanya mencipta kejutan.

Ketua jurulatih Villarreal itu berkata, "Kami menghadapi cabaran yang lebih besar berbanding sebelum ini. Faktor kejutan sudah tiada. Mereka adalah pilihan nombor satu untuk memenangi pertandingan ini.

"Pasukan adalah cerminan jurulatih mereka, Jurgen Klopp, daripada segi bermain dengan penuh kegembiraan, dengan semangat. Mereka berada dalam momen terbaik.

"Saya masih ingat pengalaman saya menentang Liverpool [semasa dia menjadi bos Arsenal] di Anfield sebagai mencabar. Saya mengiktiraf kerja yang dilakukan dan identiti yang dicipta oleh Klopp, yang sejak itu telah dipertingkatkan lagi.

"Saya melihat itu sebagai motivasi tambahan untuk saya, untuk mencuba dan menewaskan Liverpool yang terbaik. Untuk itu kami perlu menunjukkan versi terbaik kami," katanya.