SUKAN
Lompat Tinggi: Norliyana dipantau rapi menjelang Sukan SEA 2025 Thailand
SEPANG: Atlet lompat tinggi wanita negara, Norliyana Kamaruddin akan menjalani pemantauan rapi selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut serta buku lali menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
Jurulatih atlet berkenaan, Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata, ia bertujuan memastikan hasrat untuk atlet berusia 34 tahun itu memburu pingat emas di temasya dwitahunan berkenaan kekal membara.
"Tahun lepas kita fokuskan jalani pemulihan kecederaan dialaminya. Terbuka Thailand yang disertai ini kejohanan ketiga disertainya selepas Terbuka Filipina dan Terbuka Perak dengan masing-masing mencatatkan rekod lompatan bawah 1.80 meter (m).
"... faktor usia maka kita kena sasarkan beberapa kejohanan dan tidak boleh sertai kesemua sekali. Mungkin hanya empat (kejohanan) sahaja sebelum ke Sukan SEA dan saya harap dia dapat kekalkan prestasi," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam, sejurus kembali daripada kejohanan Terbuka Thailand.Terdahulu, Norliyana merangkul pingat emas selepas melakukan lompatan 1.75 m pada kejohanan itu.
Had ketinggian itu secara tidak langsung mengatasi catatan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2023 Kemboja, iaitu 1.73 m dilakukan Michelle Sng Suat Li dari Singapura.
Selain mengelakkan kecederaan, Malik turut mahu atlet itu terus membina momentum bagi menyaingi rekod lompatan melebihi 1.80 m yang dicapai atlet tuan rumah yang juga pemenang emas pada temasya edisi lepas.
Untuk rekod, Norliyana memiliki catatan peribadi terbaik 1.82 m.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami