KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah meraih pingat gangsa dalam disiplin jump pada Kejohanan Waterski Dunia bawah 21 tahun (B-21) di Chapala, Mexico pada Ahad.

Menurut laman sesawang International Waterski and Wakeboard Federation, peluncur berusia 19 tahun yang buat julung kalinya menaiki podium pada pentas berprestij itu mencatatkan 45.2 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga.

Peluncur Chile, Agustina Varas yang mencatat 49.5m menduduki tempat pertama manakala Sade Ferguson dari Australia di kedudukan kedua dengan catatan 45.3m.

Aaliyah yang merupakan pelajar Florida Southern College dan penerima biasiswa Yayasan Sime Darby (YSD) berkata kemenangan itu merupakan detik manis buat dirinya kerana beliau terpaksa membahagikan masa antara belajar dan berlatih bagi persiapan menghadapi kejohanan itu.

“Saya sangat teruja dengan keputusan ini kerana saya perlu berusaha keras untuk meraih podium peringkat dunia untuk kali pertama di sini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, jurulatih luncur air kebangsaan Hanifah Yoong Yin Fah berkata pencapaian Aaliyah amat bermakna kerana beliau bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama tetapi juga peluncur Asia pertama menaiki podium kejohanan dunia ski air IWWF.

Bagaimanapun, Aaliyah terlepas pingat gangsa dalam disiplin keseluruhan pada kejohanan sama apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

-- BERNAMA