KAHERAH: Maghribi dipilih sebulat suara sebagai tuan rumah edisi ke-35 Piala Negara-Negara Afrika (AFCON 2025), pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) di sini pada Rabu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF), Fouzi Lekjaa dan ahli Jawatankuasa Eksekutif CAF, lapor MAP.

Pada mesyuarat itu, Lekjaa turut mengulangi komitmen kerajaan selaras dengan titah Raja Mohammed VI untuk menyatukan kerjasama Selatan-Selatan dengan negara-negara Afrika bagi mencapai pembangunan dalam pelbagai bidang.

Lekjaa berjanji bahawa kejohanan itu akan berjalan dalam keadaan "selamat, aman dan mengikut piawaian antarabangsa, selain menjamin pengalaman unik untuk pemain, peminat, pelawat dan penonton televisyen di seluruh dunia."

Beliau berkata infrastruktur yang dibangunkan oleh kerajaan untuk penganjuran acara utama bola sepak Afrika , khususnya stadium yang memenuhi keperluan CAF, bersedia untuk menganjurkan pertandingan, sama ada di Rabat dan Casablanca atau di Tangier, Fez, Marrakech dan Agadir.

Maghribi mempunyai pengalaman dalam menganjurkan acara besar itu, bukan sahaja dalam arena sukan, bahkan dalam semua bidang, berdasarkan rangkaian infrastruktur moden yang dibangunkan dengan baik, katanya.

-- BERNAMA