Majlis Gala Amal SapuraKencana Petroleum Malaysia Grand Prix dijangka berlangsung meriah tahun ini dengan kehadiran ramai selebriti antarabangsa.

Satu sidang media telah diadakan hari ini, Khamis sempena majlis gala amal ini.

Majlis ini akan diadakan pada 21 Mac di Hotel The Majestic Kuala Lumpur bersempena dengan edisi ke-15 Grand Prix Malaysia Petronas.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Halim Mu'adzam Shah Ibhi Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta orang-orang utama dalam industri Formula One adalah antara tetamu-tetamu kehormat yang dijangka hadir ke majlis ini.

Menurut Presiden dan Pengarah SapuraKencana Petroleum Bhd , Dato’ Mokzhani Mahathir, antara selebriti antarabangsa yang akan menghadiri majlis gala amal ini ialah Josh Hartnett, Teri Hatcher dan Ralph Johnson.

Majlis gala amal ini akan memperlihatkan barangan dari pasukan dan pelumba Formula One yang akan dilelong untuk tujuan kebajikan.

"Hasil dari malam gala ini akan disalurkan kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN)," kata Mokhzani kepada pemberita.

Acara ini juga ditaja oleh jenama terkenal seperti CERES-The House Of Goenka oleh Goenka Diamonds, yang turut menderma sepasang subang berlian yang bernilai sekitar RM 100,000 kepada majlis gala amal ini.

Cecil Purnell yang merupakan penaja jam tangan rasmi turut menyumbang seutas jam tangan 'Hamberge' VII Tourbillon yang bernilai RM500 000.

Petronas, yang merupakan penaja bersama akan membawa pelumba dan pasukan Mercedes AMG Petronas F1 melawat wad Pediatrik IJN pada Selasa depan, 19 Mac.

Selain mempunyai peluang untuk bergaul dengan selebriti antarabangsa dan melakukan kebajikan, tetamu-tetamu juga akan dihiburkan oleh penyanyi dan juga pemenang Anugerah Grammy, Kenny "Babyface" Edmonds.