PETALING JAYA: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sedang mempertimbang cadangan untuk menyediakan perlindungan insurans hayat buat atlet karate kebangsaan bagi menjaga kebajikan mereka.

Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa MAKAF Sabtu lepas dan akan diputuskan pada mesyuarat yang akan diadakan Mei depan.

"Semalam, kita ada bincang dengan Exco, mesyuarat berkenaan insurans, insurans semasa latihan dan insurana semasa kita melakukan perjalanan.

"Kita akan usaha dapatkan insurans nyawa dan insurans perubatan sepanjang atlet bersama kita, bila atlet mewakili negara, mereka sudah mempunyai semuanya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan MAKAF 2024, di sini semalam.

Dalam pada itu, Nur Azmi turut mengucapkan takziah kepada keluarga pesilat Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang meninggal dunia ketika prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA) semalam.

Beliau berkata peristiwa berkenaan perlu dijadikan iktibar buat persatuan sukan tanah air agar lebih menitikberatkan kebajikan atlet seperti menyediakan perlindungan insurans.

Semalam, Allahyarham Wan Muhammad Haikal disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar selepas didapati tidak sedarkan diri selepas jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah berkata atlet berusia 20 tahun itu terjatuh kemudian kepalanya terhentak ke lantai ketika sedang melakukan sapuan bawah sewaktu perlawanan.

-- BERNAMA