Barisan pemain terbaik dunia akan mengalihkan tumpuan mereka untuk membantu negara masing-masing menghadapi Kejohanan Piala Sudirman yang bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini esok.

Berdasarkan undian, Malaysia, selaku pilihan ke 3/4, tidak menghadapi masalah untuk menempah slot suku akhir apabila berada dalam Kumpulan C bersama Jerman dan Taiwan.

Malaysia sekali lagi dijangka terus mengharapkan kudrat pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk meraih mata sulung kepaad skuad negara dalam acara campuran itu bagi menyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang lain.

Pengurus pasukan Teoh Teng Chor bagaimanapun menangkis tanggapan sedemikian malah menganggap rentak konsistensi semua pemain sepanjang kejohanan seminggu itu dapat membuka peluang negara meraih gelaran sulung itu.

"Pemain negara seharus mengambil kesempatan beraksi di halaman sendiri untuk meraih kejuaraan itu.

"Bagi saya, peluang untuk kita mara sejauh mungkin pada edisi kali ini juga cerah sekiranya muncul juara kumpulan C," kata Teoh, yang juga Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jika dilihat pada rekod kejohanan, peranan selaku tuan rumah dan sokongan tidak berbelah bahagi merupakan senjata rahsia kepada sesebuah pasukan untuk muncul juara Piala Sudirman.

China umpamanya muncul juara sebanyak tiga kali di negara mereka -- 2005 di Beijing, Guangzhou (2009) dan 2011 di Qingdao selain turut meraih kejuaraan pada 1995 (Switzerland), 1997 dan 2007 (Scotland), 1999 (Denmark) dan 2001 di Sepanyol.

Negara Tembok Besar itu yang berhasrat menjuarai Piala Sudirman buat kali kesembilan tahun ini dijangka mudah menempah slot ke suku akhir walaupun bakal berdepan tentangan sengit daripada Indonesia dan India dalam kumpulan A.

Malaysia, selaku tuan rumah buat pertama kali, diharap dapat menamatkan kemarau gelaran Piala Sudirman di halaman sendiri.

Piala Sudirman diperkenalkan oleh Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) pada 1989 bagi menghargai jasa dan sumbangan legenda badminton Indonesia, Dick Sudirman.