Malaysia mengesahkan tempat ke peringkat akhir kejohanan badminton Piala Axiata 2013 dengan melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Pilihan Asia di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Sonia Cheah muncul penyumbang mata pertama apabila menewaskan Tai Tzu Ying dalam pertemuan perseorangan wanita.

Berdepan pemain di ranking ke-10 dunia, Sonia yang berada dikedudukan ke-46 mempamer aksi bertenaga untuk kemenangan 21-18 dan 21-16.

Kecemerlangan skuad kebangsaan kemudian diteruskan menerusi perseorangan lelaki, Liew Daren.

Daren, 26 tahun berjaya mengatasi cabaran Lee Hyun Il 22-24, 21-12 dan 21-12.

Rentak kemenangan Malaysia diteruskan dengan beregu campuran nombor tiga dunia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang menang ke atas Ashwini Ponnappa dan Tarun Kona 21-8, 18-21 dan 21-17.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berkeyakinan Malaysia mampu merangkul gelaran juara andai mampu mengekalkan rentak permainan sedia ada.

"Kemenangan kedua-dua kategori perseorangan hari ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Saya hanya menjangkakan satu sahaja kemenangan namun pemain telah menunjukkan satu mutu permainan yang cemerlang.

"Mereka kelihatan lebih berkeyakinan, berkomitmen dan lebih fokus dalam setiap permainan hari ini. Ternyata ia lebih bagus berbanding perlawanan lepas," jelas Rashid selepas tamat perlawanan.

Rashid turut memuji aksi bertenaga Sonia dan Daren yang disifatkan sebagai pembakar semangat buat Peng Soon dan Liu Ying menghadiahkan mata kemenangan Malaysia.