ROBERTO MANCINI berkata dia mahu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih Itali walaupun Azzurri gagal ke Piala Dunia buat edisi kedua berturut-turut.

Itali memberikan respons atas kegagalan mereka layak ke Piala Dunia 2018 dengan memenangi Euro 2020 -- menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti Julai lalu dan memenangi Kejohanan Eropah pertama sejak 1968.

Azzurri juga memecahkan rekod dunia dengan rentetan 37 perlawanan tanpa kekalahan, yang ditamatkan oleh Sepanyol dalam separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Mancini itu gagal menjuarai peringkat kumpulan pusingan kelayakan Piala Dunia dan tewas 0-1 kepada Macedonia Utara dalam separuh akhir pusingan play off di Palermo pada Jumaat lalu.

Ia meningkatkan spekulasi mengenai masa depan bekas pengurus Manchester City itu tetapi Presiden Persatuan Bolasepak Itali, Gabriele Gravina, mengesahkan bahawa Mancini akan kekal mengemudi pasukan kebangsaan itu.

Mancini juga meluahkan keinginannya untuk mengekalkan jawatannya, satu sentimen yang diluahkannya dalam sidang media menjelang perlawanan persahabatan menentang Turki awal pagi esok.

"Saya sudah bercakap dengan Gravina, kami bersependapat tentang segala-galanya. Ayuh fikirkan mengenai perlawanan ini dan kemudian, kami akan berbincang mengenai segala-galanya, untuk memahami apa yang boleh diperbaiki pada masa akan datang."

Dia menambah: "Terdapat pasukan kebangsaan besar lain yang tidak pernah menang apa-apa sepanjang 60 tahun ini. Itali sedikit lebih baik berbanding itu walaupun terdapat sedikit kekecewaan. Adakala kita berlebih-lebihan dengan berkata bahawa kita perlu mencari penyebabnya.

"Di sebalik kekecewaan yang besar di Palermo, saya gembira apabila tugas yang saya lakukan sepanjang tiga tahun ini dihargai.

"Ia bukan sekadar Kejohanan Eropah, pemain kami juga perlu diberikan pujian atas rekod tanpa kalah yang panjang.

"Kami bukan sahaja mempunyai pemain yang bagus, mereka adalah individu istimewa yang mencipta sebuah pasukan luar biasa," katanya.