ALOR SETAR: Pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukan itu kini sedang berhadapan masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan tertunggak sejak Ogos lalu.

Beliau berkata pihaknya telah menyelesaikan separuh daripada gaji bulan Ogos dan perancangan sedang dilakukan bagi melunaskan baki bayaran gaji bulan berkenaan manakala gaji bulan Sept akan dijelaskan pada November ini.

"Saya memohon maaf kepada semua penyokong KDA FC atas kelemahan saya yang mengakibatkan persembahan kurang mengujakan. Sebagai pemilik, saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas semua masalah kewangan dihadapi KDA FC.

"Insya-Allah situasi ini sedang cuba kita atasi dengan pelbagai cara, sedaya mungkin dengan kami menyasarkan pembayaran gaji akan kembali normal Disember depan. Sehingga tempoh itu, kami akan memastikan pembayaran gaji tidak tertunggak melebihi dua bulan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya mengenai punca sebenar menyebabkan KDA FC menghadapi masalah kewangan, Mohd Daud menafikan tanggapan dan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ia disebabkan ketirisan atau tindakan penaja menarik diri.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia disebabkan 'mismatch' antara pendapatan dan perbelanjaan di mana ketika ini jumlah perbelanjaan pasukan itu setiap bulan melebihi daripada pendapatan yang diperoleh.

"Saya tegaskan, tiada penaja yang menarik diri, cuma ada dalam kalangan penaja yang menghadapi masalah mereka sendiri dan membuat bayaran yang kurang atau secara berperingkat kepada kita. Tapi mereka memberi komitmen untuk menyelesaikan penajaan seperti dijanjikan," katanya.

Mohd Daud berkata bagi menyelesaikan masalah aliran tunai KDA FC, pihaknya sedang berusaha mendapatkan dana dan menarik penajaan bagi mengukuhkan sumber kewangan selain turut menawarkan saham pasukan itu kepada pihak yang berminat.

Beliau turut bersedia melepaskan semua pegangan sahamnya dalam KDA FC sekiranya ada pihak yang bersedia memikul tanggungjawab untuk membawa skuad Sang Kenari ke peringkat yang lebih tinggi.

"Bagi saya pengurusan sebuah kelab bola sepak ini tidak ubah seperti menguruskan sebuah syarikat. Kadang-kadang, sebahagian daripada percaturan, pendanaan dan pemasaran tidak berlaku seperti dirancang.

"Sumber pendapatan hanyalah dari sumber terhad iaitu melibatkan sumbangan pemegang saham, penajaan serta hasil penjualan tiket dan jualan barangan rasmi pasukan dan ia tidak cukup untuk menampung perbelanjaan," katanya.

MenurutnyA, Mohd Daud juga berkata pihaknya juga bercadang untuk memperkenalkan satu model perniagaan baharu untuk dilaksanakan KDA FC bagi mengatasi dan mengelakkan masalah kewangan daripada berlaku pada masa akan datang, namun perincian model itu akan diumumkan kemudian.

-- BERNAMA