SUKAN
MCKK Premier 7s Edisi Ke-13: Empat sekolah elit kuasai hari kedua kejohanan

Pemain MCKK (tengah) cuba membolosi benteng pertahanan lawan semasa hari kedua Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s di Kuala Kangsar pada Sabtu. - Gambar MCKK
KUALA LUMPUR: Peminat ragbi bakal memberi tumpuan kepada empat sekolah elit yang mengekalkan kejuaraan di peringkat kumpulan pada hari kedua Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2025 edisi ke-13 di Kuala Kangsar pada Sabtu.
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn (THOR) antara pasukan yang kekal mengungguli perlawanan untuk merebut piala NJ Ryan.
MCKK selaku tuan rumah melalui Kumpulan C kekal menyerlah dengan kutipan 139 mata dan hanya dibolosi 5 mata berjaya menewaskan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) 31-0, Sekolah Menengah Sains Sultan (SMS) Mohamad Jiwa (SMAD JIWA) 69-0 dan SMS Tengku Muhammad Faris Petra 39-5.
Juara bertahan SSTMI menerusi kumpulan A meraih tiga kemenangan menewaskan SMK Belara 19-12, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau 36-7 dan SMK Hosba 31-0.Namun Sekolah SSMP menerusi Kumpulan B kekal garang apabila merekodkan pencapaian 101 mata tanpa bolos menewaskan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR Ipoh) 34-0, Maktab Sultan Abu Bakar atau English College (EC) 340 dan Kolej Vokasional Arau 19-0.
Media melaporkan, SSMP dijangka bakal menjadi pesaing utama dalam merebut piala berprestij itu.
Manakala Kumpulan E pula menyaksikan SMK Tun Hussein Onn (THOR) menewaskan pesaing dari Thailand, Vajiravudh College (VC) 27-0.
THOR berjaya mengumpul 132 mata dalam tiga perlawanan iaitu antara tertinggi dalam kejohanan setakat ini.
Shizuoka Seiko Academy (SSA) dari Jepun menerusi Kumpulan F meraih tiga kemenangan, menewaskan SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) dan SMK Telok Mas (AKRAM) manakala SMK Victoria (VI) pula muncul pencabar terkuat dalam kumpulan dengan dua kemenangan.
Matlamat utama kejohanan ini ialah untuk menghidupkan semula budaya ragbi di sekolah-sekolah dan menyumbang ke arah pembentukan masa depan sukan ragbi negara.
Piala NJ Ryan merupakan sebuah piala dengan reka bentuk unik dan dinamakan bersempena bukan warga tempatan terakhir (MCKK) yang memperkenalkan sukan ragbi di institusi pengajian terkemuka itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami