KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan rasuah dalam industri e-sukan yang dipercayai berlaku dalam bentuk transaksi digital seperti bitcoin dan mata wang kripto.

MESF dalam kenyataan hari ini memaklumkan badan induk sukan itu bagaimanapun bersedia memberikan kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya perlu dalam usaha memerangi gejala itu.

"MESF dari dahulu sentiasa bekerjasama erat bersama SPRM dalam usaha menangani isu rasuah dalam kalangan masyarakat dan telah melaksanakan pelbagai insiatif seperti SPRM PUGBM I-Challenge pada 2020 dengan memberi suntikan elemen anti rasuah termasuk dalam bentuk visual, grafik serta video.

"Kami menyedari akan keresahan masyarakat terutamanya ibu bapa berhubung perjudian dalam talian dan sekiranya anak-anak mereka terjebak. Kami akan terus memberi penerangan kepada semua pihak berkepentingan e-sukan berkaitan isu rasuah ini dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Kenyataan MESF itu dikeluarkan selepas industri e-sukan atau sukan elektronik dilapor kini dalam pemerhatian SPRM.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan hari ini berkata aktiviti rasuah dalam industri e-sukan dipercayai berlaku dalam bentuk transaksi digital dan ia menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesannya.

Menurut Azam landskap industri sukan menjadi lebih mencabar apabila e-sukan menjadi perhatian kerana potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu dijana oleh sektor berkenaan.

-- BERNAMA