SUKAN
Messi cipta sejarah baharu

Aksi Lionel Messi (10) dan pemain lawan Matt Polster (8) berebut bola ketika perlawanan MLS antara New England Revolution dan Inter Miami di Foxborough, Massachusetts, 9 Julai 2025. (Foto AP)
LIONEL Messi terus membuktikan magisnya di pentas Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer atau MLS) apabila menjadi pemain pertama dalam sejarah liga itu yang menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan berturut-turut ketika membantu Inter Miami menewaskan New England Revolution 2-1 di Stadium Gillette, Foxborough.
Perlawanan yang disaksikan 43,293 penonton itu menyaksikan Messi meledak dua gol pada separuh masa pertama, sekali gus menjadikan jumlah jaringannya kepada 14 gol dalam 15 penampilan musim ini bersama Miami.
Pemain Argentina berusia 38 tahun itu memulakan rentak jaringan berganda pada Mei lalu ketika membantu kemenangan 4-2 Miami ke atas Montreal dan kemenangan besar 5-1 ke atas Columbus, sebelum menyertai kempen Piala Dunia Kelab.
Di kejohanan 32 kelab terbaik dunia tersebut, Messi hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan ketika Miami tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) di pusingan 16 terakhir.Bagaimanapun, beliau kembali menyerlah dalam aksi liga dengan membantu Miami menang 4-1 ke atas Montreal minggu lalu.
"Leo sentiasa menjadi pemain yang luar biasa. Bagi saya, dialah pemain terbaik dalam sejarah sukan ini.
Apa yang dilakukannya kini masih sukar dipercayai. Ramai mungkin tidak menyangka dia masih mampu beraksi di tahap tertinggi seperti ini. Kami sangat bertuah memilikinya dalam pasukan ini," kata pengendali Miami, Javier Mascherano.
Messi membuka tirai jaringan seawal minit ke-27 dan menggandakan kelebihan 11 minit kemudian hasil penyudah cantik selepas menerima hantaran Sergio Busquets.
New England Revolution merapatkan jurang menerusi jaringan Carles Gil pada minit ke-79, namun Inter Miami kekal bertahan untuk membawa pulang tiga mata penting, sekali gus melonjak ke kedudukan kelima liga.
Rekod demi rekod terus dicatat Messi sejak menyertai saingan bola sepak Amerika Syarikat itu.
Selain mencipta rekod jaringan berganda dalam empat perlawanan berturut-turut, Messi turut memegang rekod MLS untuk jumlah bantuan gol terbanyak dalam satu perlawanan (lima) dan sumbangan jaringan terbanyak dalam satu perlawanan (enam), kedua-duanya dicapai ketika menentang New York Red Bulls dalam kemenangan 6-2, Mei lalu.
Messi juga memegang rekod sebagai penyumbang gol terbanyak dalam sejarah Miami dengan 58 sumbangan gol keseluruhan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami