BAYERN MUNICH tidak akan bersaing dengan Manchester City dan Inter Milan untuk mendapatkan Lionel Messi memandangkan pasukan juara Jerman itu tidak mampu untuk mendapatkannya.

Kapten Barcelona, Messi, 33, kelihatan akan meninggalkan skuad Blaugrana itu selepas 19 tahun bersama kelab berkenaan dan dikatakan sudah memaklumkan hasratnya untuk berpindah.

Dia dikatakan mempunyai klausa dalam kontraknya yang membolehkannya untuk berpindah secara percuma pada penghujung musim 2019-20. Walaupun terma itu perlu diaktifkan sebelum Jun lalu, Messi dikatakan masih mahu berbuat demikian kerana musim itu telah berlarutan lebih lama disebabkan pandemik koronavirus.

Sejak kenyataannya itu disebar luas oleh media, spekulasi mengenai destinasi perpidahannya semakin menjadi-jadi dengan beberapa kelab besar di Eropah mula dikaitkan untuk mendapatkan pemain itu.

Dengan itu, pasukan seperti Manchester City, Inter dan Paris Saint-Germain (PSG) kelihatan sebagai destinasi paling sesuai buat Messi dan walaupun juara Eropah, Bayern -- yang menewaskan Barca 8-2 dalam perlawanan terakhir Messi bersama kelab itu -- berada dalam kelompok elit berkenan, pengerusinya, Karl-Heinz Rummenigge, menafikan sebarang kenyataan yang mengaitkan Messi dengan kelabnya.

Ketika ditanya Tuttosport mengenai kemungkinan Messi menyertai Bayern, dia berkata: "Tidak, kami tidak mampu membayar pemain dengan perawakan seperti itu. Ia bukan sebahagian daripada polisi dan falsafah kami.

"Sejujurnya, mendengar Messi akan meninggalkan Barcelona membuatkan saya sedikit sedih.

"Leo sudah mencatat sejarah di kelab itu dan pada pendapat saya, dia sepatutnya menamatkan kariernya bersama mereka.

"Terdapat aspek dalaman dan sulit di sana dan saya tidak tahu mengenainya dan disebabkan itu, saya tidak akan turut campur," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemampuan kewangan pasukannya untuk mendapatkan Messi, Rummenigge menambah: "Saya tidak menipu, saya benar-benar tidak tahu.

"Bagi saya, ia seperti bermain Lotto. Hanya sedikit wang ditawarkan.

"Benar, Chelsea sudah berbelanja 250 juta tetapi mereka baru sahaja kembali selepas dua jendela perpindahan (dilarang melakukan sebarang pembelian dalam jendela perpindahan tahun lalu) dan mereka tidak berbelanja sepanjang tempoh itu.

"Pada waktu COVID-19 ini, ia bukan mudah untuk mana-mana syarikat.

"Pemilik yang kaya sahaja tidak mencukupi. Mereka perlu menjadi amat-amat kaya," katanya.

- Stadium Astro / Muzaffar Musa