PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan isu pembayaran gaji yang dikatakan sedang membelenggu pasukan Perak FC dan Perak FC II sejak dua bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata sekiranya dakwaan itu benar, ia mungkin menjejaskan pelesenan kelab kedua-dua pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) pada musim hadapan.

Beliau berkata pihaknya sedang menguruskan proses pelesenan kelab bagi musim 2022 yang bakal diketahui statusnya pada Jun depan.

"Saya berharap agar masalah pembayaran gaji bagi semua pasukan (Liga-M) tidak berlaku lagi," katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu, Ab Ghani menghadiri majlis pemeteraian perjanjian penajaan antara MFL dan Pusat Pakaian Hari-Hari di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini.

Laporan media semalam mendakwa pengurusan kedua-dua pasukan berdepan masalah pembayaran gaji pemain sehingga menyebabkan mereka belum menerima gaji bagi Februari dan Mac.

Mengulas pindaan kalendar perlawanan Liga-M, Ab Ghani berkata ia merupakan komitmen yang diberikan pihaknya kepada FAM dan skuad Harimau Malaya bagi memastikan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe dapat melakukan persiapan sebaik mungkin untuk menghadapi cabaran di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Kalendar Liga-M 2021 dipinda bermula 23 April ini untuk memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan menghadapi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE.

Sementara itu, Ab Ghani yang teruja dengan tajaan wang tunai berjumlah RM500,000 daripada Pusat Pakaian Hari-Hari bagi musim ini, menyifatkan ia sebagai inisiatif syarikat tersebut untuk membantu membangunkan bola sepak negara.

Pengarah Pusat Pakaian Hari-Hari Amilludin Latip pula percaya inisiatif tersebut mampu menarik lebih banyak pihak untuk turut serta memberi tajaan kepada MFL seterusnya mengembangkan arena sukan nombor satu Malaysia itu.

-- BERNAMA