KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek kini beralih jawatan dari Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja berkuat kuasa minggu ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai berkata, penukaran jawatan itu sebahagian daripada program penyusunan semula barisan kejurulatihan skuad remaja negara susulan prestasi mengecewakan di Kejohanan Remaja Dunia BWF 2022 di Santander, Sepanyol, Oktober lepas.

Beliau berkata, ABM juga akan menggunakan khidmat pakar Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky yang turut diberi tugas baharu Pengarah Kejurulatihan Beregu Remaja bagi membimbing pemain dari kelompok tersebut.

"Datuk Misbun akan fokus perseorangan memandangkan itu merupakan kepakarannya. Beregu junior akan dipantau Rexy dengan beliau akan melihat secara menyeluruh supaya peralihan daripada junior kepada senior akan berlaku dengan lancar," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Michelle berkata, jurulatih terlibat juga mengakui kegagalan skuad remaja di Sepanyol dan justeru semua pihak bersetuju bahawa mereka perlu mengambil pendekatan berbeza bagi meningkatkan prestasi pemain.

Buat pertama kali, tiada pemain kebangsaan layak ke suku akhir bagi acara perseorangan di kejohanan remaja dunia dan pasukan negara hanya menduduki tempat kesembilan bagi acara berpasukan campuran.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut Malaysia pulang dengan tangan kosong selepas edisi 2019 di Kazan, Rusia.

Dalam pada itu, Michelle berkata, Misbun dan Rexy sedang dalam proses mengambil beberapa jurulatih baharu bagi membantu mereka mengemudi skuad remaja termasuk menggantikan jurulatih skuad bawah 15 tahun lelaki negara, Hafiz Hashim dan ketua jurulatih beregu bawah 18 tahun negara, Vountus Indra Mawan yang meninggalkan BAM baru-baru ini.

"Setahu saya, Misbun dan Rexy sedang dalam proses bercakap dan menemu bual beberapa jurulatih. Harap boleh dapat (jurulatih baharu) dalam masa terdekat," katanya. - BERNAMA