Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) menaruh harapan tinggi kepada skuad negara untuk menamatkan kemarau pingat emas pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April ini.

Presidennya, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata 10 pemain yang menggalas cabaran negara di Gold Coast kali ini terdiri daripada pemain berpengalaman dan berada dalam prestasi terbaik untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara.

"Sasaran kami sekurang-kurangnya satu pingat emas. Barisan pemain yang dipilih telah didedahkan dengan pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa. Dua minggu lepas, mereka telah mengadakan siri perlawanan ujian dengan Australia dan India di Brisbane.

"Mereka akan bertolak awal ke Australia pada Isnin ini dan terus berada di sana untuk meneruskan latihan dan menyertai beberapa kejohanan sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel nanti. Paling penting mereka perlu mendapatkan rentak permainan yang lebih kompetetif," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Wan Nawawi mengumumkan nama atlet negara ke Sukan Komanwel iaitu Muhammad Hizlee Abdul Rais, Fairul Izwan Abd Muin, Mohammad Soufi Rusli, Zulhilmie Redzuan, Mohammad Syamil Syazwan Syazwan Ramli, Siti Zalina Ahmad, Emma Firyana Saroji, Nur Fidrah Noh, Azlina Arshad dan Auni Fathiah Kamis.

"Saya melihat pasukan yang terpilih pada tahun ini berpotensi meraih pingat emas dalam acara single wanita ataupun triples lelaki," katanya.

Skuad negara menyumbang dua pingat perak menerusi Muhammad Hizlee Abdul Rais, Fairul Izwan Abd Muin dalam acara pairs lelaki (men's pair) dan Emma Firyana Saroji, Nur Fidrah Noh, Nor Hashimah Ismail, Azlina Arshad bagi acara four wanita (women's four) pada edisi 2014 di Scotland.

Malaysia pernah meraih pingat emas menerusi Siti Zalina Ahmad bagi acara single wanita pada 2002 di England dan 2006 di Melbourne, Australia dan gandingan Azlina Arshad, Nor Hashimah Ismail, Nor Iryani Azmi dalam acara wanita triples pada edisi 2006.

-- BERNAMA